Jun
6th

monologku - masa

Files under luahan | 2 Comments

Tanpa kusedari pantas sekali masa pergi meninggalkanku.memang benar apa yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali yang jauh itu masa.dunia yang kulihat dulu sudah berubah.semalam dan hari ini sudah berbeza.Hanya diriku sahaja yang tidak pernah merasakan perubahan.Masakan tidak,kita seringkali hidup dalam zon selesa.Tiada apa yang yang merisaukan.masalah kecil umpama syiling 1 sen yang dilupuskan nilainya.barangkali hanya akan di temui di muzium kelak.Siapa tahu..

seringkali kita melihat orang lain menyambut ulangtahun kelahiran dengan meriahnya.kebiasaannya doa mohon keberkatan dan panjang umur selalu dipanjatkan.konon-kononnya nak bertaubat di kemudian hari.maklumlah dosa yang dilakukan belum lagi dilangsaikan dengan taubat yang sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha.tapi sedarkah kita bayi yang baru ditiupkan roh sudah direntap nyawanya apatah lagi kita yang dewasa ini.
(more…)

May
21st

monologku - sayang

Files under luahan | 5 Comments

Deruman air terjun Ulu Kenas menggamit rasa.Pepohon hijau tumbuh meliar menjadi penahan terik sang mentari.Hanya beberapa jalurnya mencuri masuk menyapa lantai hutan.Damai sekali di hati.Mie sedang seronok bermain di gigi air.Takut katanya maklumlah masih belum boleh berenang.isteriku dan Najwa hanya bersantai di atas batu bersama makanan.

Bukan selalu kami dapat bercuti seperti ini.Masing-masing sibuk dengan urusan harian.Najwa pula jarang-jarang pulang ke rumah disebabkan pelbagai aktiviti di universiti.Seperti mereka juga, diriku hanya duduk di atas batu yang tersusun secara semulajadi.Kakiku dibiarkan terendam di dalam air.Memang menyamankan.Dalam ketenangan itu,waspada masih menebal.Bimbang jika berlaku apa-apa kepada si kecil.Maklumlah malang tidak berbau.

“Ayah”

Tiba-tiba najwa menegurku.

“Ada apa Najwa?”
(more…)

Apr
5th

monologku - pemotong kayu

Files under luahan | 6 Comments

Angin petang berlalu membelai perasaanku di laman rumah.Lagu alam sudah lama dialunkan.Sungguh mendamaikan hati.

“Abang,lama abang duduk kat sini.kerja yang saya suruh buat tu dah siap ke?”Tegur Anis,isteriku.

“Oh.Anis ke.Ingatkan siapa tadi.Kerja tu abang dah siapkan.Awal-awal lagi.itu yang abang duduk berehat kat sini.”

“Nak kopi ke?”

“Boleh juga Anis.Petang-petang ni kalau hirup kopi panas dengan biskut kering ni sedap ni.”

“Ok.Anis masuk dalam dulu.Nak buat kopinya.”

“Ok.”

Rumahku agak jauh dari kesibukan kota batu.Kota batu yang penuh dengan pelbagai parasit.5 tahun di situ sudah cukup bagiku mengenal pelbagai sikap manusia.Mereka hanya bertopengkan manusia tetapi di sebaliknya hanya tuhan sahaja yang tahu.

“Apa yang termenung jauh tu,abang?Serabut ke?Nah,ni kopinya dengan biskut kering.”

“Takdalah Anis.Abang terkenang orang jauh.Nun kat utara tu.”

“Hah.Ingat kat siapa tu.Nina le tu.Abang ni,sedar sikit abang tu dah tak macam dulu.Nak berlagak macam orang muda pula.”

Anis mencubit betisku.Ala cubit manja gitu.

“Anis ni,abang gurau je.Nina tu dah beranak tiga.Bini orang lagi tu.Cukuplah abang ada Anis kat sisi.Takkan marah kot.Ala macamlah Anis tak kenal abang ni.Tak pernah serius.”

“Mana ada Anis marah abang.Siap boleh senyum-senyum lagi ni.”

“Eleh,jangan tipu abang la.Tu muka dah merah.Siap cubit abang lagi.”

“Alah,abang ni.Anis marah-marah manja je.Takkan tak boleh nak bermanja sikit.”

“ok-ok.Abang terima.Anis,kita pergi bercuti nak?kita berdua je.”

“Berdua?Najmi macam mana?Siapa nak jaga?”

“Mak abang boleh tolong jagakan.Semalam dia telefon abang.Mak rindu sangat dengan Najmi.”

“Kalau macam tu tak apalah.Mengapa tiba-tiba abang nak pergi bercuti ni?”

“Anis,kita dah 20 tahun bersama.Waktu mula bersama dahulu perasaan cinta mula berputik.Tapi,perasaan itu kian pudar dan mula layu.Bila Najwa lahir,tiada lagi kekasih.Yang ada cuma ibu dan bapa.Segala tumpuan banyak ke anak-anak kita.Kita lupa untuk memberi perhatian kepada diri kita.Anis ingat tak kisah penebang pokok?”

“Yang mana tu abang?Anis ingat-ingat lupa.”

“Kisahnya begini.Ada penebang pokok yang sangat rajin bekerja.Dari pagi hingga ke petang gigih menebang pokok.Di hujung hari itu,dia agak kecewa.Kayu yang ditebangnya sedikit berbanding sahabatnya.

“Peliklah man,punya teruk aku gergaji pokok ni alih-alih banyak ni je yang aku dapat.Bahagian engkau banyak pula dari aku.Nak kata engkau rajin takdalah,banyak rehatnya.”"Amin,aku berehat bukan duduk sahaja,aku mengasah mata gergajiku ni agar lebih tajam.Mudahlah aku nak buat kerja.Setiap benda ada hadnya dan masanya.Engkau biarkan gergaji kau tidak diasah,lama-lama tumpullah ia.Siapa yang susah nanti?kita juga yang susah nak memotong pokok.”"Baru aku sedar man.Terima kasih.”

Yang itu kisah penebang pokok.Bukan setakat mata gergaji yang tumpul,cinta manusia pun akan pudar jika tidak dijaga dengan elok.Itu sebab ada pasangan baru berapa tahun bersama terhenti di pertengahan jalan.Sebab itulah abang ajak anis pergi bercuti berdua sahaja.Biar cinta itu marak kembali.”

“Erm..Anis baru sedar tentang perkara ini.Patutlah abang banyak termenung.Ni nak cuti kat mana?”

“Yang itu tak pasti lagi.Nanti kita bincang lagi ok.Najmi mana?senyap je dari tadi.”

“Najmi ada kat rumah sebelah.Bosan duduk kat rumah katanya.”

“Oo.Nanti panggil dia balik.Dah senja ni.Abang nak masuk mandi.Sekejap lagi nak pergi surau.Malam ni ada orang mengaji.”

“Abang masuklah dulu.Anis nak kemas cawan ni.Sekejap lagi Anis panggil Najmi balik.”

“ok.”

si unggas sudah lama pulang ke sarang.Alam begitu sepi sekali.Mentari sudah di ufuk barat.sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang tanda masuknya waktu solat manghrib.Terasa damai di hati.

Mar
19th

monologku - anak palestin

Files under luahan | 3 Comments

Tap.tap.Jari-jemariku terus menaip di mesin taip usangku.Ilham yang datang perlu segera ditafsir dan diluahkan secepat mungkin.Ia datang bagaikan angin yang lalu sebentar di suatu tempat.Perginya terasa.Sebentar tadi sahabatku Suhaimi sekali lagi menghantar artikel buatku.Katanya perlu diolah secepat mungkin.Lama juga diriku merenung artikel yang diberinya.Agak buntu mencari olahan yang sesuai.sejak akhir-akhir ini,diriku banyak merenung jauh.Banyak sangat difikirkan.Berserabut dan bersawang.Artikel tadi terus direnung.

Sajak Anak Palestin

Ayah!
kata mereka kau penjahat
padahal engkau bukan penjahat,
Ayah!
Mengapa mereka jauhkan aku darimu ,
Mereka menangkapmu tanpa memberi kesampatan untuk menciumku
atau mengusapkan air mata ibu,

Ibu!
Aku melihat air mata di kelopak matamu setiap pagi,
Apakah palestina tidak berhak diberi pengorbanan?
setiap hari aku bertanya kepada matahari,
Ibu,apakah ayah akan kembali pada suatu hari?
ataukah dia akan pergi selamanya sampai hari Kiamat,
atau dia akan mengusap air mata ibu yang terus menitis setiap hari?

Wahai ayah,di manakah engkau?
Ooh..bayi-bayi yang dijajah,
kini telah datang hari raya baru setelah hari raya tahun lalu,
dan bayi baru pun terlahir sesudah bayi yang itu,
dan para Syuhada berguguran setelah gugurnya syahid yang lalu,
sedang ayah masih disembunyikan di seblik jeriji besi,
dalam sel yang tidak layak dihuni manusia

Mana hari kemenangan dan kehancuran penjara-penjara besi itu?
Aku ingin ayah kembali.

Tika diriku membacanya,butiran jernih gugur dari wajahku.Hiba sekali rasanya.Seorang anak kecil rindukan kepada bapanya.Seorang isteri yang terus setia menanti kepulangan suaminya.Mereka terus berharap agar insan yang disayangi pulang.Tidak pernah luntur.Harapan berderai tatkala insan yang ditunggu sudah tiada.Pergi buat selamanya.Hanya sebujur tubuh tanpa bernyawa.Diam tanpa berbicara.Raungan memecah suasana tatkala tubuh itu dibawa pergi.

Fikiranku kini mula sarat dengan pendapat.Pendapat yang tiada pendengarnya.Hanya diriku yang mendengarnya.Sedang asyik pemimpin-pemimpin Islam membuat kata sepakat di meja bulat,sudah berapa ramai nyawa rakyat palestin terkorban.Cukuplah rundingan itu wahai ketuaku.Si Israel laknat itu bukannya boleh dibawa berbincang.Bukankah sudah disebut bahawa si Israel akan memungkiri janjinya jika ada pihak membuat perjanjian.Mengapa perlu ada rundingan?Yang cuma membuang masa?Rakyat palestin sudah jelik dengan rundingan itu wahai sahabatku.Mereka hanya perlu doa dari kita.Berdoa agar pejuangan mereka berjaya menghalau si Israel dari tanah palestin.Mereka tidak meminta-minta bantuan orang lain untuk berjuang bersama mereka.Cukup sekadar iringan doa.

Diriku tersentuh ketika melihat seorang ibu sedang memecahkan batu dengan penukul di jalanan.Kemudian melontarnya kepada askar-askar Israel di jalanan.Lontaran diiringi dengan dendam kematian anaknya.Peluru Israel menebusi badan anak kecilnya tatkala anaknya bermain di tepi tembok kebencian.Apa dosanya sehingga ditembak mati?Si ibu meratapi kematian anaknya.Badannya penuh dengan kesan peluru seperti papan yang dimamah anai-anai.Mukanya sudah berubah sifat.Sungguh menyayat hati kecil ini.

Mereka di palestin syahid di hujung senjata akan tetapi kita di sini sudah lama mati dalam kekufuran.Hati kita sudah lama mati.Mati dimamah ideologi-ideologi barat.Gugur satu-persatu seperti dedaun yang dimamah ulat.Gugur tanpa sebarang makna.Sekadar menyubur usaha si kafir laknat.Hendonisme,sekularisme,kapitalisme dan sebagainya sudah lama bersarang di hati kita.Sudah menjadi tuan kepada diri kita.Logik akal dan iman sudah lama dihalau.Yang tinggal cuma nafsu menjadi teman.Dipandunya ke lembah kemusnahan.Negara maju tapi yang mundurnya iman dan akhlak.

Jari-jemariku berhenti menaip.Tafsiran yang dipinta sudah disiapkan.Ringkas sahaja kali ini.Ilham yang datang tadi tidak sempat untuk ku luahkan.Tafsiran tadi ku simpan di dalam fail peribadiku.Esok sahaja ku serahkan kepada Suhaimi.Cukup untuk tazkirah semasa usrah nanti.Mesin taipku ku biarkan diam di situ.

Mar
6th

Monologku - gelas

Files under luahan | 2 Comments

Hari ini,tergerak hati kecil ini untuk membawa anakku keluar bersiar-siar di taman.Baginya ini hal yang sangat mengembirakan hatinya.Maklumlah sudah lama dia tidak keluar bersamaku.Selama ini dia hanya keluar bertemankan ibunya.Hari ini kebetulan diriku sudah bosan duduk di rumah.Petang ini,ramai sungguh anak-anak kecil bermain di sini.Ibubapa cuma merenung jauh.Sesekali tawa kecil terbit di wajah mereka melihat telatah anak mereka.Najmi sudah lama di buaian.Memang itu yang ditujunya.

Ku cuma melabuhkan diri di perdu pohon.Sungguh nyaman sekali udara di bawahnya.Dengan badan yang sudah berusia ini,tidak mampu rasanya untuk selincah dahulu.Dari jauh ku memerhati dengan teliti Najmi.Maklumlah hati ini tidak mahu kejadian penculikkan berlaku ke atas keluargaku.Tiada ibubapa yang mahu anaknya disakiti termasuklah diriku.Najmi berlari mendapatkanku.

“Ayah,mie dahagalah.Ayah belanja boleh tak?Belanja ABC kat tepi tu”
“Ok.Ayah belanja.Jom”

Jelas terpancar keceriaan di muka anakku.Tiada yang mulia selain membahagiakan orang lain.Ku tinggalkan perdu pohon sebentar.Tangan Najmi ku pegang dengan erat ketika melintas jalan.Sudah tanggungjawabku menjaga keselamatannya.Di gerai,keadaan agak sibuk dengan anak-anak kecil berebut untuk mendapatkan makanan yang dipinta.Pak Ali tidak menang tangan dengan permintaan pelanggan.Sudah lama Pak Ali berniaga di situ.Seingatku,sebelum keluargaku berpindah ke taman ini,gerai Pak Ali Sudah ada di situ.

“Ayah,cepatlah.Mie dah dahaga ni.”

“ok.ok.Ayah nak order ni.Pak Ali,kasi ABC Special dan Teh O ais ya,”pintaku.

“Ok.Siap!”Jawab Pak Ali.

sebentar kemudian,pesananku sampai ke meja.ABC special dan Teh O Ais.Najmi terlebih dahulu menyambar “ABC”nya.Dahaga sangat rasanya.Bersungguh betul anakku memakan ABCnya.Sedang asyikku melayan perasaan,Najmi bertanya kepadaku.

“Mengapa ayah menjadi penulis?Ayah tak minat jadi polis ke?Boleh tembak orang jahat.”

“Ayah dulu ada mohon nak jadi polis.Tapi…”

“Tapi apa ayah?”

“Ayah terlebih berat.heheheh.Najmi,cuba tengok gelas ayah ni.”

“Ada apa dekat gelas ayah?”

“Nampak tak ada air dekat tepi gelas?”

“AAAA.Najmi nampak.Kenapa Ayah?”

“Inilah alasan ayah jadi penulis.Kita ini umpama gelas yang diisikan dengan air.Air itu adalah ilmu yang kita dapat.Dan lebihan air itu adalah amalan kita.”

“Macam mana tu ayah?”

“Macam ni Najmi,ada orang banyak ilmunya tapi tidak tahu untuk menyampaikan ilmunya kepada orang lain.Ilmunya tidak keluar seperti air di dalam gelas ini.Terkurung di dalam gelas.”

“Air yang meleleh keluar tu macam mana?”

“Air yang meleleh keluar itu adalah ilmu yang kita sampaikan kepada orang lain.Ayah menjadi penulis untuk sampaikan ilmu kepada orang lain.Ini sahja yang ayah mampu buat.Nak angkat mesingan,ayah takut.Bunyi tayar lori meletup pun ayah dah takut.Setiap orang ada kelebihannya.Macam ayah,ayah cuma tahu menulis cerita sahaja.Lain orang lain bakatnya.”

“Ooo.Gitu rupanya.”

“ok la Najmi,ibu dah cekak pinggang kat pintu tu.Suruh balik rumah.Jom balik rumah.Ibu masak sedap malam ni.”

“Jom ayah.Mie pun dah lapar ni.”

“Jom.Ayah dukung mie balik.”

setelah membayar harga minuman tadi kepada Pak Ali.Diriku melangkah pulang ke rumah dengan Najmi di belakangku.Diri ini bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama dengan anakku.Biarlah nasihat yang kuberi kepadanya akan menjadi pedoman buatnya.